Wednesday, July 23, 2014

45. Lagi terang lagi bersuluh

" Man, sorang je ke?"

Tegur Usop bila nampak Man berjalan seorang. Ceria betul Usop pagi ni. Maklum lah, Esah bininya dah abes pantang anak ke lima dorang. Abes semua orang disapanya pagi ni. Muka Usop memang senyum aje lah, macam kerang busuk juga kalau lama lama tengok.

Man perasan sapaan Usop. Tapi tak pula senyum. Dia dongakkan sikit kepalanya agar biji mata dapat melihat jelas menembusi kanta cermin mata rabun dekat yang dibuat kat kedai optik Wah Seng. Itu pun ketika terlihat promosi bingkai+cermin hanya Rm19.90. hampir setiap tiang letrik disangkut banner promosi tu. Tapi bila da siap cermin matanya, hampir RM300 juga yang melayang. Entah mana silap pengiraannya.


"Eh, tak lah Usop, satu keluarga ada sekali ni". Sindir Man.

"Dah aku sorang je jalan kaki ni kan? Takkan ramai pulak? Cubalah tanya soalan yang berfaedah sikit" Tambah Man.

"Ngee" sengih Usop sambil tergaru-garu belakang telinganya. Itu je lah yang dia boleh respon pun.

***

Entah kenapa panas betul hati Man bila orang bertanyakan soalan sebegitu. Seperti kura-kura dalam perahu, buat-buat pula tak tahu. Dah lama Man perati benda ni. Kali ni baru dia luahkan, itu pun kat Usop. Dia tahu Usop boleh terima kepala angin dia ni.

Man terus berjalan menuju ke kedai Basri. Sambil mengingat balik apa yang dipesan oleh Ani isterinya tadi.

***

Usop seronok benar. Esah sekali lagi disahkan hamil. Mungkin ini rezekinya, baru sebulan si Esah habis pantang, kali ini hamil lagi. Doktor yang sahkan. Gembira benar sehingga satu kampung hendak diberitahunya. Pantang saja siapa yang lalu di depan rumahnya, pasti akan disapa.

Dari jauh, Usop ternampak Man. Aduh, Usop mengeluh. Dia mahu menegur Man tapi bimbang dikatakan mengeluarkan soalan yang tidak cerdik lagi. sudah sebulan Usop tidak tegur Man. Sudah lah gosip-gosip tentang Man pun dia tak tahu, bagaimana mahu memulakan perbualan ini.

Belum sempat Usop abes memikir, Man sudah berlalu di depan rumahnya. Ah, dia terlepas lagi. sudah sebulan satu hari aku tak menegurnya. Detik hati Usop sambil menggaru belakang kepalanya.

***

Man berjalan hari ini ke kedai Basri lagi. Kali ini mencari gula kabung. Pelik betul dia, sudah lama tak ada sesiapa menegurnya. Walau bagaimanapun, Man selesa begitu, asalkan tiada pertanyaan bodoh yang hinggap ke telinganya.


***mengerti?***