“Mak ingat lagi masa kecil dulu, makan nasi berlaukkan tulang lebihan yang diambil dalam pinggan anak - anak pak sulong, sedih sangat bila ingat semula” kata mak sambil menahan sebak.
Tiap kali bercerita pasal zaman kecil, mak mudah menangis sebak. Kami adik beradik yang mendengar turut sebak seolah tenggelam dengan cerita mak. Manakala Abah kalau terdengar cerita mak, hanya tersenyum dan kadang menyindir perangai mak yang selalu menangis sambil bercerita kisah hidupnya yang dulu. Kadang kala kami juga turut tergelak dengan sindiran santai Abah.
Namun, kisah mak yang ini adalah sepertimana cebisan puzzle yang sukar untuk aku gambarkan. Maklumlah sebagai anak yang ke-6, banyak watak yang mak ceritakan sudah tiada dan kalau masih ada pun susah untuk digambarkan latar masa, tempat dan suasananya. Oleh itu, dengan izinNya hati terpanggil untuk menyusun kisah ini dengan lebih terperinci dengan harapan kisah ini kiranya suatu hari nanti boleh dicoretkan sebagai satu kisah yang punya kesan mendalam dalam hidup mak tetapi jarang didendangkan kepada umum.
****
Kehidupan mak bermula seperti orang - orang kampung lain kebanyakannya. Ayah mak, Tok Othman adalah orang yang disenangi penduduk Kampung Temoh kerana suka menolong orang. Mungkin kerana kerja kampungnya membuatkan Tok Othman punya lebih masa untuk orang sekeliling. Begitulah kiranya adat orang - orang kampung, berat sama dipikul yang ringan lagikan dijinjing sama. Sikap Tok Othman yang baik dan disegani membuatkan kehilangannya begitu terasa. Terutama kepada isteri dan anak - anaknya. Tok othman meninggal dunia pada usia mak kecil lagi - lebih kurang 6 tahun.
Bercerita tentang kematian Tok Othman, ianya seolah masih segar dalam ingatan mak apabila menyaksikan sendiri kematian ayahnya. Pada hari itu serangan jantung menjadi asbab pemergiannya. Mak We ada menceritakan sebenarnya dari malam semalamnya lagi tok Othman sudah mula mengadu sakit dadanya. Namun pada pagi keesokannya, ketika Mak We tijah di sekolah, ajal Tok Othman dijemput Illahi.
Mak yang berada di rumah ketika itu masih teringat saat apabila Opah Sam minta mak panggil Tok Othman untuk minum pagi seperti kebiasaan hari - hari sebelumnya di sekitar tahun 1960, tapi sahutan mak mengajak Tok Othman minum tidak dibalas. Mak seolah terpaku apabila Tok Othman tak menyahut bila dipanggil. Apabila didekati tubuhnya terbujur kaku tidak bernyawa lagi. Opah Sam yang dalam keadaan terkejut gegas memanggil jiran hadapan rumah untuk menolong namun sudah terlambat, Tok Othman pergi buat selama-lmaanya.
Bagi mak yang masih berusia 6 tahun, kehilangan seorang bapa mungkin tidak terlalu diratapi, tetapi pada masa yang sama mak juga tidaklah menyangka ia bakal mengubah 360 darjah hidup mak.
Seumpama kapal bertiang layar tanpa kemudi.
Kehilangan Tok Othman sebagai tunjang keluarga memberi kesan besar kepada keluarga mak. Pada masa yang sama Opah Sam sedang mengandungkan Cu Ilah berusia 7 bulan. Kasihan melihat anaknya tiada tempat bergantung, Tok Ayah mak mengajak anaknya Opah Sam berpindah tinggal di Kg. Ayer Hitam Labu bersamanya. Walaupun begitu, mak tidak ikut sama kerana Opah Sam memikirkan yang mak masih bersekolah di Temoh. Mak ditinggalkan bersama keluarga Pak Sulong yang terus menetap di Temoh.
Mak dijaga baik oleh Wan Nyah yang merupakan kakak tiri mak berusia belasan tahun ketika itu dan sangat rapat dengan mak. Pak Sulong dan Wan Nyah merupakan anak tiri Opah Sam. Mereka merupakan dua beradik hasil perkahwinan Tok Othman dan isteri sebelum Opah Sam. Jarak Temoh dari kampung Opah Sam di Air Hitam Labu berjarak lebih kurang 16km. Satu jarak yang tidaklah terlalu dekat pada masa itu oleh kerana kemudahan pengangkutan yang terhad.
Ketika Opah Sam sibuk membesarkan Mak Mun dan Cu Ilah, Mak dibesarkan dengan kasih sayang Wan Nyah. Biarpun berpangkat kakak, tapi kasih sayang Wan Nyah saling tak tumpah bagai seorang ibu buat mak. Mak juga selalu bercerita bagaimana masa kecil mak lebih banyak dihabiskan bersama Wan Nyah berbanding Opah Sam. Mak meneruskan persekolahan di SK Temoh. manakala Opah Sam bersama Mak We Tijah, Mak Mun dan Cu Ilah yang masih kecil pulang ke Kampung Air Hitam Labu. Kehidupan persekolahan mak diuruskan oleh Wan Nyah sehinggalah pada suatu ketika Wan Nyah lari meninggalkan kampung beberapa hari selepas berkahwin.
Tragedi hitam Wan Nyah lari meninggalkan suami yang baru dinikahinya itu bukan perkara mudah untuk ditelan oleh Pak Sulong dan isterinya, Wan Tom. Apa tidaknya situasi yang Wan Tom perlu hadapi untuk menjawab kepada keluarga pengantin lelaki yang ditinggalkan. Tragedi ini bermula apabila satu berita disampaikan bahawa pengantin lelaki adalah berketurunan Orang Asli di sekitar tapah sesudah Wan Nyah diijabkabulkan. Mendengarkan berita itu, ada pihak saudara yang terkejut seolah sukar menerima dan menentang perkahwinan yang diaturkan itu. Ahli keluarga dan saudara yang kasihan dengan nasib Wan Nyah dipaksa bersuamikan keturunan orang asli berusaha memujuk Wan Nyah dan akhirnya Wan Nyah nekad mengambil keputusan lari meninggalkan kampung halaman, suami dan membina hidup baru di Johor. Wan Nyah ke Johor dengan bantuan Tok Busu yang menetap di Johor.
Ketiadaan Wan Nyah di sisi mak sekelip mata membuatkan mak hilang tempat bergantung. Kakak yang dianggap seperti ibunya kini pergi meninggalkan mak. Kehidupan mak diteruskan di bawah jagaan abangnya, Pak Sulong di Temoh. Pada masa yang sama, Opah Sam bergelut dengan sakit batuk teruk dan penyakit Tibi.
Berbeza dengan Wan Nyah, layanan Wan Tom kepada mak agak berbeza. Mak jarang bercerita lanjut berkenaan hal ini - selalunya kelihatan mak seolah nafasnya tersepit dan menahan sebak bila menyentuh kenangannya tinggal bersama keluarga abangnya.
Mak hidup bersama keluarga pak sulong lebih kurang 2 tahun dan bersekolah sehinggalah tamat darjah 3. Dalam tempoh masa itu, mak hanya mampu mengadu nasib kepada kakak sepupunya, Chu Siah. Chu Siah merupakan seorang guru di SK Temoh. Chu Siah anak Tok Harun yang merupakan abang kepada Tok Othman. Setelah seberapa lama, Chu Siah seakan begitu kasihan dan mengambil keputusan membawa mak tinggal bersamanya. Chu Siah yang sudah berkeluarga dan mendirikan rumah tangga dengan Cikgu Hasan yang merupakan duda beranak 3. Walaupun begitu, sikap Chu Siah dan Cikgu Hasan terhadap mak sangat baik. Bukan sahaja mak yang diambil untuk tinggal bersama mereka malah 11 orang yang lain termasuk anak-anak mereka dijaga Chu Siah dan Cikgu Hasan. Mak tinggal dan bersekolah di bawah jagaan Chu Siah sehingga tamat darjah 6. Mak kelihatan senang berada di bawah jagaan Chu Siah, walaupun hidup serba sederhana tetapi setiap cerita dan pengalaman bersama Chu Siah tenyata lebih bahagia.
Melihat kesungguhan mak belajar, Cikgu Hasan menyuarakan pandangan untuk melanjutkan pendidikan mak dengan memasukkan mak bersama beberapa anak perempuan ke Sekolah Inggeris di Tapah. Mak kelihatannya gembira dengan berita itu, tetapi Opah Sam menolak pelawaan Cikgu Hassan tersebut atas alasan tidak mahu menyusahkan lagi Cikgu Hassan dan Chu Siah. Cikgu Hasan nampak kecewa namun terpaksa akur dengan keputusan Opah Sam. Mak kembali ke kampungnya di Kg. Air Hitam Labu untuk tinggal bersama Opah Sam.
Kesulitan hidup di kampung dan tambahan pula tiada lagi insan yang prihatin dengan pendidikan mak menyebabkan mak meneruskan hidup hanya dengan menolong Opah Sam di rumah. Di sudut hati, mak menyimpan kehendaknya untuk sambung belajar seperti gadis-gadis seusianya. Namun, dengan kekangan yang dihadapi membuatkan Mak memendam hasrat tersebut. Pernah beberapa bulan selepas itu, Cikgu Hassan mengetahui yang mak tidak lagi bersekolah dan meluahkan kekecewaannya. Mungkin beliau nampak potensi diri mak didiamkan begitu sahaja.
Selalu dalam cerita mak, Mak sering bercerita dan menyelitkan kebaikan dua susuk tubuh ini, Chu Siah dan suaminya, Cikgu Hassan. Mungkin sebahagian kisah hidup mak yang lebih baik diabadikan bersama dua insan itu. Dan mungkin jasa baik mereka berdua kekal diingati dalam doa mak sampai akhir hayatnya.
No comments:
Post a Comment